Resepi Paru Masak Berempah Yang Sedap Dan Mudah

Resepi Paru Masak Berempah Yang Sedap Dan Mudah | Inilah lauk yang bila bonda masak, kami adik beradik memang tak pernah tolak dan sekarang anak-anak saya pun macam tu malahan si cikapplepie tu kalau dapat paru rebus tu dia akan offer diri untuk menghiris sebab sambil menghiris sambil dikunyah walau waktu direbus hanya dimasukkan asam gelugur tanpa garam pun. Lebih parah bila dibuat paru goreng memang jenuh sesiapa yang ambil tugasan menggoreng tu menjaga diri dan menjaga supaya tak kena tax dek ahli yang kenal bau paru goreng..hehe

Sebenarnya paru ni kami panggil kelempung dan ada yang memanggilnya lempung tapi kalau kami sebut kelempung mesti ramai yang tak kenal dan rasa lawak kan..hehee

Paru masak berempah ni resepi bonda yang menjadi favorite dan masih kami rindu masakan bonda tapi bonda dah berusia jadinya memang kami tak benarkan bonda memasak. Dulu kalau bonda merebus paru ni, Allahyarham abah akan ambil tugasan menghiris. Baik bonda atau abah memang teliti sambil menghiris tu dia akan buang urat di paru tu jadi bila dimakan senang la nak hadam. Memang terbaik sungguh gandingan bonda dan abah ni yang kini tinggal kenangan.

Jom kita memasak!

Resepi Paru Masak Berempah Yang Sedap Dan Mudah

Bahan-bahan:-

500 gm paru, direbus dan dihiris ikut saiz kesukaan

3 ulas bawang merah, dihiris

2 ulas bawang putih, dihiris

1 inci halia, dihiris

2 batang serai, diketuk

1 bungkus serbuk kari ikan

3 keping asam gelugur

1 tangkai daun kari

air dan garam secukupnya


Resepi Paru Masak Berempah Yang Sedap Dan Mudah

Cara membuatnya:-

1. Paru yang telah direbus, dihiris mengikut saiz yang senang kita makan dan ikut kesukaan.


2. Panaskan minyak dan tumis serai hingga kekuningan dan kemudian masukkan bawang merah, bawang putih, halia digoreng hingga kekuningan dan naik bau.


3. Masukkan rempah yang telah dicampur dengan air, dimasak dengan api sederhana supaya rempah masak dengan sempurna.

4. Bila rempah dah pecah minyak, masukkan daun kari, dikacau dan kemudian masukkan paru. Tambah air jika perlu supaya rempah bersalut dan sebati dengan paru.


5. Masukkan asam gelugur dan biarkan paru masak dengan sempurna. Masukkan garam secukupnya. 

Siap!

Catat Ulasan

0 Ulasan