Resepi Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Utara

Resepi Ikan Terubuk Bakar | Menu tengahhari ikan bakar dan ayam bakar ni sebenarnya kami masak 2 bulan sudah semasa adik ipar dan keluarganya berkunjung selepas beberapa lama tertangguh dek kerana PKP. Ingat kami nak berkunjung ke Penang tapi DH kena kerja setiap malam Ahad jadinya mereka je yang turun dengan siap buat program ke Nilai 3 untuk shopping. Saya la paling seronok sebab dah bertahun nak ke Nilai 3 jadi kenyataan.

Ikan terubuk bakar ni cukup mengenangkan umi pada Allahyarhamah MiL yang akan bakar ikan terubuk ni atas bara api dan boleh dikatakan kerap sewaktu bulan Ramadan

Resepi Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Utara


Sebagai penggemar ikan bakar, umi rasa ikan terubukur la yang paling sedap kerana rasa manis ikan dan lemak ikan terubuk tu memang boleh terbawa dalam mimpi. Kalau tak percaya cuba, cubalah tapi harus diingat, anak kecil tu tak perlu diajak makan sekali kecuali anda pantau sebab kalau tulang melekat di dalam mulut, hilang nikmat makan anda sendiri.

Resepi Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Utara

Bahan-bahan

1 ekor ikan terubuk

garam kasar


Cara membuatnya :

  • Ikan terubuk, dibuat isi perut dan dibelah bahagian belakang dan dibasuh dengan perahan limau kasturi. Ikan terubuk tak perlu dibuat sisik dan kalau si pemotong ikan tu pandai, dia akan potong dan selarikan tulang supaya mudah untuk diambil isi ketika makan.
  • Lumur dengan garam serata bahagian ikan terubuk hingga rata. Biarkan seketika.
  • Bakar sehingga ikan masak. 


Resepi Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Utara

Air Asam Utara

Bahan-bahan

10 tangkai cili api, dihiris halus

2 tangkai cili merah, dihiris halus

1 - 2  biji tomato, dihiris halus

2 biji bawang besar, dipotong nipis

2 biji bawang merah

1 inci belacan - bakar 

Sedikit jus asam jawa

2 biji limau kasturi, diambil jusnya

1 sudu cuka masak

1 sudu besar gula

1 sudu kecil garam

1 mangkuk air masak

1 sudu besar kerisek


Cara membuatnya: 

  • Asam jawa dibancuh dengan 1 cawan air, ditapis dan ambil patinya. 
  • Masukkan separuh tomato, bawang merah, separuh tangkai cili, belacan, gula dan garam ke dalam pengisar dan kisar. 
  • Setelah dikisar, tuangkan ke dalam bekas, masukkan bahan yang telah dihiris dan gaul hingga mesra.
  • Kalau kurang masin tambah garam dan tambah gula jika perlu. Asam yang sedap perlua ada kombinasi rasa masam, manis, masin dan pedas. Selalunya saya akan tambah cuka untuk memberi lebih rasa wangi dan masam, tapi kalau tak suka cuka, boleh masukkan lebih jus perahan limau kasturi.
  • Air Asam Utara ini akan lebih sedap kalau ditambah 1 sudu besar kerisik yang digaul hingga mesra.


Catat Ulasan

0 Ulasan