Umi kurang menyukai penggunaan ejen penaik seperti baking soda terutama dalam membuat cekodok pisang atau pun lain-lain cucur sebab akan ada rasa 'after taste' yang membuatkan umi terus tak lalu nak makan. Malahan masa kecil dulu pun, bonda pun tak guna serbuk penaik untuk buat cekodok sedap yang memang laju habisnya.
Bila membuat cekodok ni kita kena pandai mengagak kuantiti campuran tepung dan pisang supaya tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
Selain menggaul adunan dengan tangan, umi guna hujung jari untuk mengaut adunan di dalam bekas adunan untuk dimasukkan ke dalam kuali dengan minyak yang banyak dan panas. Bila mengaut adunan dengan jari, umi akan gesel-geselkan didinding bekas adunan sebelum meletakkannya ke dalam kuali. Proses ini juga akan membuatkan cekodok berbentuk bulat dan cantik.
Bahan-bahan :
10 biji pisang emas
1 senduk tepung beras
1 1/2 senduk tepung gandum
2 sudu makan gula
1/2 sudu garam
sedikit air (jika perlu)
Cara Penyediaan :
- Kupas kulit pisang dan lenyekkan pisang hingga lumat. Masukkan gula dan garam, kacau hingga sebati.
- Satukan tepung gandum dan tepung beras, masukkan ke dalam adunan pisang sedikit demi sedikit hinga adunan menjadi tidak terlalu pekat atau cair. Gaul supaya adunan tidak berketul dan sebati. Jika terlalu pekat, masukkan sedikit air.
- Panaskan minyak di dalam kuali dan sendukkan minyak yang telah mendidih, masukkan ke dalam adunan pisang. Gaul (dengan sudu) supaya sebati.
- Kautkan adunan cekodok dengan hujung jari, gesel-geselkan di dinding bekas adunan dan jatuhkan ke dalam minyak panas. Pastikan api tidak terlalu kuat.
- Kacau dan balikkan cekodok pisang supaya masak dengan sempurna. Jangan masukkan adunan terlalu banyak kerana nanti susah untuk dibalikkan.
- Bila cekodok sudah nampak kekuningan, angakat dan toskan didalam bekas berlapikan kertas tisu untuk toskan minyak.
Tip :
- Tepung harus ditambah sedikit demi sedikit supaya nanti cekodok pisang tidak menjadi terlalu cair atau terlalu keras. Ini adalah kerana sukatan itu bergantung kepada jenis pisang dan berapa banyak kuantiti pisang yang kita masukkan.
1 Ulasan
Salam kenal..Cuya singgah dah follow
BalasPadam