Resepi Masak Cili Api Siput Sedut Mudah Dan Sedap

Resepi Masak Cili Api Siput Sedut Mudah Dan Sedap | Pelbagai cara yang digunakan kebanyakkan kita bila memasak masak cili api, ada yang tidak meletak bawang putih dan bawang merah tapi saya suka meletakkan bawang putih tanpa bawang merah kerana bawang merah akan mengubah warna kuah walau mengikut kata bonda saya, bawang merah menambah kesedapan masak cili api.

Ada yang memanggilnya masak lemak cili api, masak cili api tapi rasanya sama sebab bahan utama yang digunakan sangat sama iaitu cili api dan santan malah lagi pedas lagi sedap.

Baca juga Resepi Masak Lemak Cili Api Makanan Laut 


siput sedut
Resepi Masak Cili Api Siput Sedut Mudah Dan Sedap

Bahan-bahan:-

1 kg siput sedut 

2 cawan santan 

2 batang serai, dititik 

2 keping asam gelugur

1 helai daun kunyit


Bahan untuk ditumbuk halus 

10 - 15 biji cili api

3 ulas bawang putih

2 inci kunyit hidup 

Garam secukup rasa


Cara memasaknya : 

  • Rendam siput sedut dalam bekas berisi air dan masukkan garam kasar dalam 30 minit. Kemudian basuh bersih dan potong hujung runcing siput sedut. Lebih mudah dipotong menggunakan playar tapi jangan terlalu panjang dipotong atau terlalu pendek sebab nanti sukar untuk disedut waktu makan nanti.
  • Selepas selesai dipotong, basuh bersih dan toskan.
  • Masukkan bahan yang telah ditumbuk ke dalam periuk termasuk serai yang dititik serta daun kunyit yang telah dipotong kasar dengan 1 mangkuk air.  Renih dengan api sederhana dan bila nampak agak kering, masukkan siput sedut dan kacau supaya sebati dengan bahan yang dimasak tadi.
  • Masukkan santan serta asam gelugur, kacau dan biarkan dimasak dengan api sederhana.  
  • Kacau kuah supaya tak pecah minyak dan bila nampak hampir mendidih tutup api.  Perasakan dengan garam secukupnya. Siap!
Selamat Mencuba.



Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. sedapnya kak.. dana kalau siput sedut suka masak lemak cili api gini... paling tak suka yang hipster punya siap boh keju huhuhuhu

    BalasPadam